SHAH ALAM: PAS Selangor menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang walaupun DAP memutuskan hubungan mereka dengan Presiden parti Islam itu kerana tidak bersetuju dengan tindakannya dalam isu hudud.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau akan tetap bersama dengan Hadi dalam mempertahankan pendirian parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
“Saya kekal teguh bersama Presiden PAS (Hadi),” katanya dalam akaun Twitter miliknya.
Kenyataan Iskandar itu kemudiannya disokong oleh ahli-ahli PAS negeri.
Dalam laman Facebook milik PAS Selangor, mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hadi dan Iskandar selain bersedia mempertahankan tindakan parti itu dalam isu hudud.
“Kami teguh bersama Pesuruhjaya Pas Selangor (Iskandar) dan Tuan Guru Presiden (Hadi). Anda bagaimana?” menurut status Facebook PAS Selangor.
Malah menurut Setiausaha PAS Negeri Selangor Mohd Khairuddin Othman, bukan sesuatu yang pelik DAP tidak menyokong Hadi, asalkan ahli parti sentiasa di belakang Hadi.
"Itu tidak pelik, kerana yang pelik ialah kalau ada ahli PAS sendiri yang tidak taat pada Tuan Guru Presiden, sedangkan Presiden di pilih oleh ahli di dalam Muktamar Tahunan yang sah"
"Walaupun DAP menolak Presiden kita, tetapi ahli-ahli kita di Selangor tetap bersama Presiden PAS," katanya dalam satu kenyataan.
PAS Selangor masih komited bersama Pakatan Rakyat kerana tidak ada keputusan untuk kita meninggalkan perikatan itu.
"PAS Selangor tidak menerima sebarang arahan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dengan sebab itu kita kekal," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang daripada PAS, Saari Sungib mahu DAP tidak mengambil tindakan unilateral sehingga memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Hadi.
Malah, beliau turut meminta DAP supaya menghormati prinsip serta perlembagaan parti-parti dalam pakatan pembangkang, bukannya mencampuri hal dalaman yang bukan melibatkan mereka.
“Jika semua pihak menghormati prosedur dan perlembagaan parti masing-masing, saya fikir tidak akan timbul masalah,” ujarnya.
DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Hadi berikutan ketegasannya mahu membawa rang undang-undang persendirian mengenai hudud ke Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin pakatan pembangkang.
Menurutnya, DAP tidak lagi boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi yang disifatkan tidak jujur dan tidak bermaruah.

No comments:
Post a Comment