Shah Alam: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan tindakan tidak konsisten Mohamed Azmin Ali dalam isu perjanjian air sebagai menggambarkan kelemahan diri beliau sendiri.
Abdul Khalid berkata, sikap serta kenyataan Azmin dalam menangani isu perjanjian air di Selangor juga dianggap sebagai sesuatu yang mengaibkan.
“Sekarang, timbul pula dakwaan serong yang mempertikaikan keupayaan Kerajaan Persekutuan menyempurnakan penstrukturan semula industri air Selangor memandangkan kedudukan fiskalnya yang Mohamed Azmin sifatkan sebagai hampir bankrap, termasuk cubaan mengaitkan dengan timbunan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Walaupun dakwaan terbaharu ini agak melucukan bagi saya kerana hakikatnya tiada kaitan sama sekali, namun bagi sesetengah pihak terutama di dunia korporat, kesemua dakwaan aneh ini mungkin sesuatu yang agak mengaibkan,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abdul Khalid berkata, sikap Azmin yang membuat kenyataan berdolak-dalik mengenai isu air bukan sahaja mengelirukan semua pihak, tetapi juga mengecewakan pegawai kerajaan yang begitu komited untuk menyelesaikan isu tersebut, sehingga satu perjanjian berjaya dicapai dengan Kerajaan Persekutuan.
“Seperti yang saya tegaskan berulang kali ketika mewakili kerajaan negeri semasa perjanjian ini ditandatangani, kejayaan penstrukturan semula industri air Selangor adalah pra syarat utama demi menjamin bekalan air terawat mencukupi bagi kegunaan isi rumah dan industri perkhidmatan air efisien, bebas gangguan serta pada caj yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat
“Ia juga bagi menamatkan perjanjian konsesi berat sebelah yang nyata hanya memberi keuntungan berlipat ganda kepada pemegang konsesi serta pemulangan semua aset berkaitan air kepada rakyat dalam bentuk saham.
“Atas sebab ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) tuanku menitahkan jemaah pentadbiran negeri yang baharu meneruskan usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air berdasarkan semangat serta terma perjanjian utama yang ditandatangani bersama Kerajaan Persekutuan pada 12 September 2014,” jelasnya.
Abdul Khalid berkata, Azmin juga cuba membuat dakwaan sonsang, kononnya Selangor akan hilang kedaulatan ke atas 26,000 kilometer jajaran tanah, yang mana terdapat aset berkaitan air seperti paip, loji dan sebagainya yang akan dipindah milik secara mutlak kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), iaitu sebuah agensi Kerajaan Persekutuan.
“Dakwaan ini kononnya pindah milik berkenaan sebagai timbal balas bagi dana Kerajaan
Persekutuan untuk membiayai pampasan ekuiti bernilai RM2 billion kepada empat syarikat konsesi.
“Hakikatnya, aset berkaitan air termasuk tanah milik kerajaan negeri hanyalah akan dipajakkan selama 45 tahun kepada Kerajaan Persekutuan, yang mana dalam tempoh ini, aset air akan dipajak semula kepada Pengurusan Air Selangor Berhad ( Air Selangor ), pengendali perkhidmatan air anak syarikat kerajaan negeri dengan kadar sewa pajakan yang akan ditentukan secara sepakat di antara kerajaan negeri dan PAAB.
“Selesai tempoh pajakan ini, PAAB akan memulangkan semula semua aset berkaitan air kepada kerajaan negeri selaku pemilik yang sah. Sebenarnya, ini sama sebagaimana yang kita saksikan di Pulau Pinang dan Melaka yang berjaya menyusun semula industri air mereka sebelum ini,” jelasnya.
Jelasnya, Azmin digesa menyempurnakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor berdasarkan perjanjian utama yang ditandatangani sebelum ini dengan mengambil alih dan menggabungkan operasi, aset dan liabiliti kesemua empat syarikat konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (M) Sdn. Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH), Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS) di bawah Syarikat Air Selangor, milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
“Syarikat baharu ini yang bakal mengendali perkhidmatan huluan (ekstraksi dan rawatan) dan hiliran (pengagihan) industri air negeri.
“Menamatkan serta-merta Perjanjiaan Penswastaan dengan syarikat konsesi yang sememangnya merugikan rakyat demi menghalang kenaikan tarif berjadual keseluruhan sebanyak 82 peratus bagi Syabas bermula tahun 2009 iaitu 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.
“Memastikan kos keseluruhan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor tidak akan melebihi RM9.65 billion terdiri daripada pampasan ekuiti kepada empat syarikat konsesi bernilai RM2 billion dan penyelesaian 100 peratus hutang mereka bernilai RM7.65 billion yang dibuat oleh PAAB dan tidak perlu menerima cagaran kerajaan.
“Memastikan tiada kenaikan tarif air dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun selepas penyempurnaan penstrukturan semula industri air. Kenaikan tarif air pada masa hadapan pada kadar yang sangat munasabah dan tidak membebankan, tidak melebihi 15 peratus setiap tiga tahun,” jelasnya.
Namun, sekiranya masih gagal menberi penyelesaian terbaik demi rakyat dalam semua isu terutama dalam menyempurnakan penstrukturan industri air Selangor sebagaimana titah DYMM Tuanku, maka tibalah masanya Dato’ Menteri Besar berundur supaya pentadbiran negeri boleh dikepalai oleh seseorang yang benar-benar layak dengan kompetensi, kepakaran dan pengalaman yang benar-benar sesuai dan serasi untuk negeri termaju di Malaysia seperti Selangor. Saya tidak berminat tetapi Dewan Negeri Selangor perlu memikirkan kepimpinan yang baharu.