Dr Mohamad Khir Toyo akan dibebaskan Jumaat ini daripada hukuman setahun penjara atas kesalahan rasuah selepas menjalani tempoh parol selama dua bulan sejak Mac
Pembebasan bekas menteri besar Selangor itu disahkan oleh pengarah parol Jabatan Penjara kepada Berita Harian hari ini.Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dilaporkan sebagai berkata Dr Khir akan menandatangani dokumen pembebasannya di Pejabat Parol Daerah Klang kira-kira jam 10 pagi.
Pada 29 Mac lalu, ahli politik itu diberi parol selepas menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan kedudukan untuk memperoleh tanah dan sebuah rumah besar di Shah Alam sembilan tahun lepas.Dalam tempoh itu, bekas wakil rakyat Sungai Panjang dikehendaki melaporkan diri ke pejabat parol daerah setiap minggu dan mesti mematuhi 41 syarat, lapor Bernama.
Syarat-syarat itu termasuklah beliau mesti berada di Shah Alam dan Petaling Jaya selama dua bulan tempoh parol dan berada di rumah antara pukul 7 malam hingga 7 pagi. Dalam pengawasan pegawai parol, Dr Khir yang dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada media.
Pada 22 September lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta daripada Ditamas Sdn Bhd sedangkan syarikat itu membayar RM6.5 juta untuk hartanah tersebut pada 23 Disember 2004.
Dr Khir, menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa berbuat demikian di kediaman rasminya di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
Menjalani hukuman di Penjara Kajang, beliau didakwa bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment