SUNGAI BESAR – Budiman Mohd Zohdi diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar.
Ianya diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Command Center BN di Pasir Panjang di sini malam ini.
“Kita mahu calon dari orang Sungai Besar, orang muda dan bertenaga, yang dikenali dan bekerja keras untuk akar umbi, yang boleh pergi masjid, kuil, tokong dan turun ke sawah, laut dan sebagainya.“Calon itu tidak lain dan tidak bukan ialah Budiman bin Zohdi,” umum zahid.
Sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir, Ahmad Zahid mengingatkan semua jentera parti tidak berkecil hati, tidak kecewa jika ada calon mereka tidak terpilih.
“Saya mahu semua jentera BN Sungai Besar berjanji utk bekerja keras dan jangan berkecil hati kerana semua calon sebenarnya terbaik. Tapi kita pilih yg terbaik daripada terbaik,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato’ Jamal Md Yunos selaku tuan rumah.
Budiman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.
No comments:
Post a Comment